Khamis, 25 Oktober 2012

Adakah RM40 juta untuk Umno Sabah wang haram?

KUALA LUMPUR: Pemuda Pakatan Rakyat menuntut enam penjelasan daripada Umno Sabah, khususnya Ketua Menterinya, Datuk Seri Musa Aman berhubung skandal RM40 juta.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata enam persoalan itu perlu diperjelaskan ekoran penafian ahli parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan sebelum ini.

Bercakap kepada media di parlimen, semalam, Shamsul berkata Rahman yang menyifatkan dakwaan Pakatan Rakyat itu sebagai 'imaginasi' hanya berterusan mengelirukan rakyat, sedangkan ia hanya menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai skandal tersebut.

Shamsul berkata sejak 2009 hingga 2012, tiada penafian dilakukan Musa mahupun Umno Sabah, sebaliknya terpaksa menunggu hingga tiga tahun.

Beliau berkata pihaknya pernah mengemukakan laporan rasmi Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah Hong Kong (ICAC) berhubung penahanan rakyat Malaysia, Michael Chia yang disyaki membawa wang haram di dalam mata wang Singapura berjumlah 16 juta dollar Singapura bersamaan RM40 juta.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana pembuktian yang kredibel dapat dilakukan Umno Sabah bahawa RM40 juta tersebut merupakan dana Umno Sabah.

"Adakah mereka bersedia untuk diaudit secara professional untuk membuktikan penafian mereka tersebut boleh diterima?" soal beliau.

Selain itu, Pemuda Pakatan Rakyat turut mempersoalkan apakah wujud kebarangkalian wang tersebut merupakan wang haram yang dialirkan kepada Umno Sabah, mengapa rakyat Sabah terus tertindas dengan tajaan dan sumbangan yang begitu banyak untuk Sabah.

Malah, layanan berbeza ke atas Musa berbanding kes melibatkan bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, kata Shamsul perlu dipersoalkan.

Justeru, Pemuda Pakatan Rakyat mendesak agar Umno Sabah, khusus Musa menjawab secara berfakta, berbanding mengatakan Pakatan Rakyat berimaginasi untuk mencemarkan reputasi Musa.

Turut serta pada sidang media tersebut, ahli parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria yang juga merupakan Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Parlimen; ahli parlimen Rasah yang juga Pengerusi Kebangsaan DAPSY, Anthony Loke.


Sumber: Harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan