Isnin, 23 Julai 2012

RAMADHAN: Masa terbaik berhenti merokok

SALAM Ramadan al-Mubarak! Kita kini sekali lagi dalam dakapan bulan Ramadan, iaitu bulan yang dijanjikan keberkatan oleh Allah. Sudah pasti setiap umat Islam akan meningkatkan kualiti ibadah serta amalan kerana ganjaran pahala berganda menunggu.

Di negara kita, Ramadan diterima sebagai satu daripada momen penting kepada masyarakat. Bagi komuniti perniagaan, Ramadan akan meriah dengan aktiviti jualan murah dan keghairahan rakyat membeli-belah.

Bagi kami komuniti pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), Ramadan pasti tempoh yang sangat sibuk dengan kegiatan kesukarelaan dan kemasyarakatan.

Majlis jamuan berbuka puasa dan bersolat Tarawih adalah program utama yang mesti diberi perhatian kerana akan meningkatkan hubungan di antara pemimpin pergerakan belia.

Sifat toleransi dan persefahaman kaum amat terserlah dalam bulan mulia ini apabila rakan yang tidak beragama Islam sanggup menunggu sehingga jemaah selesai bersolat Maghrib dan barulah mereka sama-sama menikmati hidangan.

Fokus dan kaedah kerja kesukarelaan juga disesuaikan dengan tuntutan bulan Ramadan. Kebanyakan mesyuarat dan gerak kerja dijalankan pada waktu malam selepas selesai solat Tarawih.

Banyak juga yang mengadakan program di sebelah petang dan disusuli dengan majlis berbuka puasa. Tahap toleransi yang tinggi juga ditunjukkan oleh rakan pergerakan belia bukan Islam/Melayu. Sebagai contoh, dalam gerak kerja menderma darah, rakan daripada Pertubuhan Belia Buddha akan membuat kempen agar ahli mereka meningkatkan usaha menderma darah pada bulan Ramadan kerana menyedari tidak ramai sukarelawan Muslim bersedia mendermakan darah pada bulan tersebut.

Suatu peluang yang sangat baik untuk dicapai melalui tempoh berpuasa ialah berusaha berhenti merokok. Perbuatan merokok sering dikaitkan dengan ketagihan terhadap nikotin dan kegagalan seseorang perokok untuk keluar daripada persekitaran perokok.

Menurut kajian, kebanyakan perokok muda bermula dengan kewujudan ikatan persahabatan yang terjalin dalam kalangan rakan yang merokok. Meninggalkan tabiat merokok dirasakan oleh seseorang individu sebagai ancaman akan kehilangan keistimewaan sesama ahli kumpulan.

Sifat ‘jantan’ dan ‘macho’ yang ditanamkan kepada kebanyakan perokok sejak usia muda oleh iklan komersial dan karakter pelakon dalam filem serta drama juga menyumbang kepada peningkatan perokok baru setiap tahun. Laporan dipetik daripada Buletin Umum Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia (Penawar Racun), pada Mac 2004 menunjukkan 14 peratus daripada remaja di seluruh dunia adalah perokok. Di Malaysia pula lebih kurang lapan peratus daripada 4.6 juta perokok terdiri daripada remaja.

Dalam kajian Institut Penyelidikan dan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM), pada 2006 mendapati 47.2 peratus daripada jumlah responden lelaki (2,054 orang) adalah perokok manakala 4.8 peratus daripada jumlah belia perempuan (2,030 orang) adalah perokok.

Statistik Pusat Racun Negara USM juga menunjukkan bahawa terdapat lebih kurang 50 hingga 60 remaja mula merokok setiap hari.

Memandangkan data menunjukkan bahawa kadar merokok dalam kalangan Melayu Islam adalah tertinggi dengan 27.2 peratus berbanding Cina 16.7 peratus dan India 15.6 peratus, maka adalah wajar bulan Ramadan ini dijadikan ruang terbaik untuk umat Islam meninggalkan tabiat merugikan ini. Fakta serta bukti mengenai bahaya dan kesan merokok kepada perokok serta orang sekeliling tidak perlu lagi kita bincangkan di sini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan mempunyai data dan program lengkap untuk membuktikan bahawa rokok adalah perosak.
Kini adalah masa untuk kita mencari organisasi serta individu yang sanggup mengisytiharkan dirinya sebagai antirokok.

Kita harus menyanjung dan menyokong pemimpin dan pembuat dasar yang berani mengambil tanggungjawab untuk melaksanakan dasar tidak merokok dalam kawasan pentadbiran masing-masing.

Di antara pemimpin negara yang tegas dan berani membasmi budaya merokok ialah Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka yang mengisytiharkan Melaka Bebas Rokok.

Beliau mempunyai kaedah tersendiri untuk mendapatkan kerjasama pentadbir dan pemimpin seluruh negeri untuk menerima pakai program pengawalan dan penguatkuasaan larangan merokok di seluruh negeri.

Kerajaan negeri Melaka mempunyai program khas dengan Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySihat) Kementerian Kesihatan untuk memastikan dasar tidak popular ini diterima baik oleh masyarakat.

Di antara strategi yang menarik ialah dengan mendapatkan komitmen serta sokongan daripada seberapa banyak pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili pelbagai komuniti di negeri yang mendapat pengiktirafan Unesco sebagai Bandar Warisan Dunia ini.

Pengalaman Penulis berkunjung dan bertemu rakan belia di negeri berkenaan mendapati sudah wujud kesedaran dan penerimaan yang tinggi larangan merokok di tempat awam di negeri Melaka. Semoga langkah berani negeri Melaka akan dituruti oleh pentadbiran negeri lain di Malaysia. Satu lagi langkah berani dalam usaha memerangi budaya merokok ialah keputusan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin yang mengisytiharkan untuk berhenti merokok sejak 20 Julai lalu. Semua orang khususnya lebih 100,000 anggota tentera di seluruh negara harus menghormati dan mencontohi sifat jujur dan keinsafan beliau terhadap kesan buruk tabiat merokok kepada manusia.

Sekiranya seorang jeneral sanggup keluar daripada bayangan ego dan mengakui ‘kesilapan’ masa lalu sehingga menjadi seorang perokok tegar, maka sudah sampai masanya bagi orang lain menuruti jejak langkah ini.

Mesej ini juga penulis tujukan kepada cerdik pandai agama serta imam yang mungkin masih gagal meninggalkan tabiat merokok sedangkan fatwa yang menyatakan bahawa merokok adalah haram sudah lama diputuskan. Kempen Perangi Rokok oleh ATM amat bermakna bagi kita untuk memastikan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia dicapai.

Dengan adanya kempen sedemikian, maka anggota tentera kita memberikan mesej jelas kepada rakyat Malaysia bahawa kewibawaan dan ‘kejantanan’ perwira kita adalah berdasarkan kepada kemahiran menggunakan senjata dengan semangat patriotisme yang tinggi untuk mempertahankan negara; bukan bergantung kepada sebatang rokok yang tersepit di celah jari.

Kepada remaja dan belia di luar sana, silalah fahami dan pelajari kenyataan yang dibuat oleh Panglima ATM berkaitan tabiat merokok.

Pada usia 58 tahun dengan status sebagai panglima, beliau mengakui bahawa tindakannya sebagai perokok tegar sejak dulu adalah salah kerana menjejaskan kesihatan dan membazirkan wang.

Maka, apakah lagi alasan anak muda yang masih bergaji kecil dan cetek pengalaman ini untuk menghalalkan perbuatan merokok? Tepuk dada tanya selera. Mengetepikan ketagihan bukan usaha mudah. Hanya yang jujur dan berjiwa besar saja mampu melaluinya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan