Selasa, 24 Julai 2012

PANAS !!! Terjun Dari Menara Kerana Takut kan Dosa

Dikalangan Bani Israil dahulu, ada seorang lelaki yang sangat tekun beribadah. Ia mempunyai wajah yang kacak dan segak. Ramai wanita tertawan dengan ketampanannya. Namun rasa takutnya kepada Allah SWT menjadi pendinding utama mengawalnya daripada berfoya-foya.

Suatu masa, ketika sedang menjaja tas keranjang daun kurma buatannya sendiri, ia sampai di hadapan istana raja. Kebetulan salah seorang daripada dayang istana itu temampak lelaki tersebut dan terpesona dengan ketampanannya. Dayang itu kemudiannya bercerita mengenai lelaki itu kepada permaisuri raja. Permaisuri begitu tertarik lalu timbul niat jahat di hatinya. “Suruh orang muda itu masuk menghadap,” titahnya kepada dayang tersebut.

Apabila lelaki itu berada di hadapannya, permaisuri menyerahkan sepasang persalinan pakaian diraja dan berkata, “Letakkan semua tas keranjangmu itu dan pakailah pakaian ini.” Kemudian permaisuri itu menyuruh dayangnya mengambil minyak wangi untuk dipakaikan kepada lelaki tersebut.

Tanpa mengesyaki apa-apa, lelaki itu melakukan segala suruhan permaisuri. Lalu permaisuri itu pun berkata, “Orang muda! Kamu jangan khuatir. Beta akan memenuhi segala keperluanmu asalkan kamu bersedia memenuhi nafsuku.”

Sebaik sahaja terdengar kata-kata yang tidak disangka-sangkanya itu, gementarlah lelaki itu lalu berkata, “Aku tidak akan melakukan perbuatan terkutuk itu!”

Permaisuri cuba juga memujuk lelaki itu berkali-kali, tetapi gagal mempengaruhinya. Akhimya dengan perasaan marah, ia berkata, “Baiklah! Kalau kamu enggan memenuhi hajatku, kamu tidak boleh keluar dari sini.” Kemudian permaisuri mengarahkan dayang-dayangnya menutup semua pintu dan tingkap istana.

Setelah semua jalan keluar ditutup,lelaki itu bertanya, ” Wahai permaisuri! Bolehkah bawakan saya ke tempat yang paling tinggi dalam istana.”

Dengan harapan hajatnya akan dipenuhi, permaisuri itu pun membenarkan lelaki itu naik ke menara istana. Apabila telah berada di puncak istana, lelaki itu berkata kepada dirinya sendiri, “Wahai jiwa! Selama 70 tahun kamu beramal mencari keredhaan Allah, Tuhan yang Maha Pemurah, apakah kamu akan merosakkannya dalam beberapa saat semata-mata untuk memenuhi keinginan nafsu dan syaitan? Demi Allah! Kau mengkhianati dirimu sendiri jika engkau tunduk kepadanya!”

Dalam keadaan malu dan, takut untuk melakukan maksiat kepada Allah, lelaki itu pun terjun dari menara yang tinggi itu.

Lalu Allah SWT yang Maha Pemurah dan Pengasih itu pun berfirman: “Wahai Jibril! Hamba-Ku itu terjun lantaran takut kepada kemurkaan-Ku dan kedosaan. Hamparkan sayapmu untuk menyambutnya, jangan sampai ia binasa!”



Daripada Abu Hurairah (r.a), bahawa Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: Tujuh golongan yang mendapat naungan Allah pada hari Kiamat, di mana tidak ada naungan melainkan naungan Allah: Pemerintah yang adil, seseorang yang hatinya terpaut kepada masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah dan berpisah kerana Allah, remaja yang membentuk dirinya untuk beribadat kepada Allah, seorang lelaki yang digoda oleh seorang wanita yang rupawan, hartawan dan mempunyai kedudukan, lalu dia berkata, sesungguhnya aku takut kepada Allah (atau sebaliknya), seorang yang mendermakan dengan tangan kanannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui dan seseorang itu yang mengingati Allah hingga mengalirkan air mata.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan