Haiwan yang tidak berakal sentiasa tunduk kepada apa yang ditentukan oleh Allah ke atasnya tanpa sebarang pilihan lagi. Tetapi manusia khususnya yang mempunyai akal ada yang memilih selain perintah Allah untuk dilaksanakan dalam kehidupan mereka.
Allah berfirman yang bermaksud "oleh itu, janganlah kamu menjadi (salah seorang) dari orang-orang yang jahil." (Surah al-An'am :35)
Ertinya janganlah pula kamu terdiri daripada orang yang tidak mengetahui bahawa Allah boleh menentukan semua manusia menerima agama yang satu (Islam) jika Allah menghendaki-Nya (wahai Muhammad s.a.w). Tetapi Allah jadikan mereka tidak menerima hidayah kerana pilihan mereka sendiri bukan dipaksakan ke atas mereka sebagaimana dipaksakan ke atas haiwan yang tidak berakal menerima segala ketentuan Allah tanpa pilihan lagi.
Oleh itu janganlah engkau (hai Muhammad s.a.w) merasakan pembohongan dan penentangan orang-orang kafir terhadap kamu, suatu yang amat besar dan besar bagimu sehingga engkau meninggalkan dakwah dan perjuangan Islam.
Anggaplah semua itu suatu yang lumrah dan ujian yang mesti datang yang ditentukan oleh Allah ke atas setiap rasul-hai Muhammad. Anggaplah semua itu masalah biasa sahaja dalam perjuangan menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini.
Yang penting ialah kamu sentiasa mendapat pertolongan Allah SWT sebagaimana firman Allah yang bermaksud, "Jika sekiranya kamu menolong agama Allah nescaya Allah menolong kamu dan meneguhkan pendirian kamu." (Surah Muhammad:7)
Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud,"Hanya orang-orang yang menyahut (seruan-MU itu) ialah orang yang mendengar (yang mahu menurut kebenaran)." (Surah al-An'am:36)
Dalam ayat ini Allah SWT memperingatkan Nabi s.a.w bahawa janganlah baginda merasa berat hati dan terlalu sukar menghadapi penentangan yang dilakukan oleh musuh-musuh Allah (orang-orang kafir) dan terhadap sikap mereka yang tidak mahu menyahut seruan dakwahnya, mengesakan Allah dan mengakui kenabiannya.
Ini kerana sesungguhnya tidaklah orang yang menyahut seruan dakwah Nabi s.a.w melainkan sesungguhnya Allah telah membuka pendengaran mereka untuk menerima kebenaran dan mempermudahkan mereka untuk mengikut jalan-Nya.
Inilah antara sifat yang ada pada orang yang beriman yang sentiasa mahu menerima kebenaran dan berada di atas jalan yang betul, tidak pernah menutup mata hati mereka untuk berbuat demikian.
Berlawanan sifatnya dengan mereka yang kafir, mereka tidak mahu mendengar dakwah Nabi s.a.w walaupun telinga mereka tidak pekak.
Mereka tidak mahu memahami apa yang disampaikan kepada mereka oleh Nabi s.a.w sebagaimana binatang ternakan tidak memahami apa yang dicakapkan oleh pengembalanya walaupun ada telinga dan dapat mendengarnya.
Bahkan orang kafir itu lebih teruk lagi berbanding dengan haiwan tersebut dinisbahkan dengan akal fikiran yang dikurnia oleh Allah kepada mereka.
Mata hati mereka itu telah tertutup tidak dapat melihat dan tidak dapat menerima kebenaran. Mereka itu seolah-olah seperti orang mati, tidak dapat melihat, mendengar dan merasakan sesuatu dengan hati mereka. Oleh kerana hati mereka mati (tertutup dari menerima kebenaran), Allah sifatkan jasad mereka juga seolah-olah seperti orang mati dengan firman yang bermaksud," dan orang-orang yang mati, Allah akan bangkitkan mereka semula." (Surah al-An'am :36)
Ahli tafsir berkata, orang-orang yang kafir akan dibangkitkan pada hari kiamat bersama-sama dengan orang-orang yang mati, yakni golongan yang memekakkan telinga, membutakan mata dan memetraikan hati mereka dari mendengar Islam dan menerima dakwah yang disampaikan oleh Nabi s.a.w dan para ulama di dunia dahulu.
Mereka dibangkitkan untuk menerima balasan yang setimpal dengan kekufuran mereka terhadap ayat-ayat Allah dan perintah Nabi-Nya s.a.w
Presiden Pas
Tiada ulasan:
Catat Ulasan