Ahad, 29 Julai 2012

Islam Dan Politik - Ulama Dan Pemerintah

Sufyan At Thauri, putera Iraq, seorang ulama yang warak, zuhud dan mempunyai keperibadian dan keberanian untuk menyatakan kebenaran. Kebenaran itu adalah kebenaran dan kebatilan itu adalah kebatilan dan siapa pun dan dari mana pun datangnya.

Ia hidup sezaman dengan Khalifah Harun Ar Rasyid, bahkan Harun adalah sahabat karibnya sebelum memangku jawatan khalifah. Sebagai seorang alim yang sangat zuhud, ia sangat benci kepada Ulama-ulama yang terpengaruh dengan harta benda. (Ulama'us Su' menurut Imam al Ghazali).



Sufyan At Thauri berkata : "Alim ulama itu tidak ubahnya seperti doktor yang mengubati orang sakit. Harta benda adalah penyakitnya. Apabila Ulama telah merangkul penyakit kepada dirinya sendiri, bagaimana dia boleh mengubati orang lain?"

Kerana Harun Ar Rasyid setelah dia menjadi khalifah menyuguhkan penyakit-penyakit ulama itu kepada para alim ulama di kala itu, sehingga para Ulama menghadap khalifah untuk menerima harta benda itu di istana, maka beliau tidak ragu-ragu sedikit pun untuk memutuskan hubungannya yang akrab selama ini dengan Harun ar Rasyid.

Demikianlah pada hari perlantikannya Harun ar Rasyid menjadi khalifah, maka sahabat lamanya Sufyan At Thauri pun diundang bersama-sama dengan ulama-ulama yang lain untuk menghadiri upacara perlantikan itu. Tetapi setelah perlantikan akan dimulai, alangkah terkejutnya khalifah, kerana sahabatnya yang paling akrab justeru tidak hadir. Hal itu sungguh menjadi tanda tanya yang tidak sedap dirasakan oleh khalifah. Maka dengan tidak lama antaranya, beliau pun menulis surat kepada sahabat akrabnya itu, Sufyan at Thauri.

Dan surat itu berbunyi seperti di bawah ini :
-------------------
BismiLLahirrahmanirRahim!

Dari hamba ALLah Harun ar Rasyid Amirul Mukminin kepada saudaranya, Sufyan bin Said bin Mundzir. Adapun kemudian daripada itu, wahai Saudaraku! Sebagaimana engkau telah mengetahui bahawa ALLah Tabaroka wa Ta'ala telah mempersaudarakan antara orang-orang beriman, dan ia menjadikan hal yang demikian itu supaya dilakukan pada jalan-Nya dan kerana-Nya belaka. Ketahuilah olehmu bahawa saya telah bersaudara dengan engkau dengan persaudaraan yang erat dan tali persaudaraan itu rasanya tidak akan putus-putusnya.

Dan aku mencintai engkau dengan sepenuh-penuh cinta dan kemahuan yang baik. Kalaulah tidak kerana kalung (jawatan) yang telah dikalungkan oleh ALlah kepadaku, tentulah aku akan datang mengunjungi engkau walaupun aku akan merangkak-rangkak sekalipun, demi cinta yang bersemi dalam kalbuku kepadamu.

Ketahuilah, wahai Abu AbdiLLah bahawa tidak seorang pun di antara kawan-kawanku dan kawan-kawanmu melainkan mereka datang berkunjung kepadaku dan mengucapkan selamat kepadaku dengan jawatan yang telah aku terima itu (khalifah).

Aku telah membukakan bagi mereka beberapa buah Baitul Mal (perbendaharaan Negara) dan aku telah memberikan kepada mereka pemberian-pemberian yang berharga mahal apa yang telah membuat hatiku gembira dan menyejukkan mataku; dan aku menanti-nanti kedatanganmu yang terlambat itu, tetapi sayang engkau tidak juga kunjung datang. Oleh itu aku tulislah surat ini kepadamu kerana sangat rinduku kepadamu, dan engkau tentu telah mengetahui tentang keutamaan orang Mukmin, mengunjunginya dan mengikat tali silaturrahim (hubungan kasih sayang) dengan dia.

Kerana itu, bila kelak suratku ini sampai ke tanganmu, maka bergegaslah, bersegeralah datang!"
_____________
Demikian bunyi surat Harun ar Rasyid yang baru sahaja dilantik menjadi ketua negara itu. Dan setelah surat itu dipersiapkan, maka Harun ar Rasyid menoleh kepada orang yang berada di sampingnya, tetapi mereka kenal kepada kekerasan watak Sufyan at Thauri. Kemudian surat itu diserahkannya kepada salah seorang pengawal beliau yang bernama 'Ubbad at Thaliqany sambil berkata : "Wahai Ubbad. ambil suratku ini dan hantarkan dia ke Kufah, maka apabila engkau telah masuk kota itu tanyakanlah kepada Kabilah Bani Thaur. Kemudian bertanyalah di mana Sufyan at Thauri berada. Maka apabila engkau telah melihatnya berikanlah surat ini kepadanya. Perhatikan benar-benar akan hatimu segala apa yang dikatakannya!"

Begitulah pesuruh khalifah menjalankan tugasnya, dan sampainya di Kufah ia bertanya tentang Sufyan at Thauri, dan seorang menunjukkannya di Masjid. 'Ubbad bercerita, bahawa setelah Sufyan at Thauri melihat kedatangannya, ia pun segera berdiri dan mengucapkan: "A'udzubiLLahis Samiil Alim minasy Syaitanir Rajim wa a'udzubiKa ALlahumma min Tariqin atruqu illa bikhoirin."

Ertinya : "Aku berlindung dengan ALLah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui daripada syaitan yang terkutuk, dan aku berlindung kepada Engkau ya ALlah daripada orang yang datang, kecuali yang datang membawa kebajikan."

"Kata-kata itu terhunjam di jantungku," kata Ubbad, dan aku pun keluarlah." Tatkala aku turun di pintu masjid, beliau pun bangkit untuk mengerjakan sembahyang, padahal waktu itu belum ada masuk waktu sembahyang (fardhu, Pen). Maka aku tambatkanlah kudaku di dekat pintu masjid dan aku pun masuklah ke dalam Masjid. Aku melihat para pengikut beliau duduk bersama menundukkan kepada mereka bagaikan pencuri-pencuri yang di hadapkan kepada Sultan (penguasa, hakim Pen) dalam keadaan ketakutan akan siksaan hukumannya.

Aku mengucapkan salam kepada mereka, tetapi tidak seorang pun di antara mereka yang mengangkatkan kepalanya, dan mereka menjawab salamku dengan hujung-hujung jari mereka sahaja. Aku tetap berdiri kerana tidak seorang pun di antara mereka yang mempersilakan aku duduk.

Kerananya makin tinggilah kegoncangan hatiku kerana melihat kehebatan mereka, dan aku sentiasa menatapkan mataku kepada mereka, dan aku sentiasa menatapkan mataku kepada mereka. Maka aku berbicara pada diriku sendiri bahawa yang sedang sembahyang itu adalah Sufyan.

Maka aku balingkanlah surat kepadanya. Tatkala ia melihat surat itu, badannya bergoncang dan ia menjauhkan diri dari surat itu seolah-olah surat itu seekor ular yang datang kepadanya di mihrabnya. Ia pun rukuk dan sujud dan kemudian memberi salam.

Setelah itu ia masukkan tangannya ke dalam lengan bajunya dan dia lipatkan lengan bajunya dan lalu diambilnya sura itu; dibalik-baliknya dengan tangannya kemudian dibalingkannya kepada orang yang di belakangnya seraya berkata : "Hendaklah surat itu diambil oleh sebahagian kamu yang akan membacanya, kerana aku minta ampun kepada ALLah, bahawa aku janganlah hendaknya menyentuh sesuatu yang telah disentuh oleh tangan orang zalim."

Ubbad berkata :"Surat itu pun diambil oleh sebahagian mereka, maka keadaannya seolah-olah orang yang takut dari patukan mulut ular, kemudian surat itu dibukanya dan lantas dibacanya, sedang Sufyan memperhatikan surat itu sambil tersenyum kehairanan. Tatkala surat itu selesai sibacanya, Sufyan berkata: "Balikkan surat itu dan tulislah di punggung suratnya itu kepada orang Zalim itu!" Ada yang menjawab : "Ya Aba AbdiLlah! Sesungguhnya dia itu adalah khalifah. Apakah tidak baik kalau engkau tulis kepadanya kembali dengan kertas yang bersih?"

Sufyan berkata: "Tulislah kepada orang zalim itu di belakang suratnya itu! Sekiranya surat itu berasal dari barang yang halal, maka dia dapat ganjaran untuk itu. Dan jika ia berasal dari usaha yang haram, maka ia akan disiksa kerananya. Dan tidak ada sesuatu benda yang disentuh oleh orang zalim tinggal pada kita, hal itu tentu akan merosak agama kita."

Kemudian ditanyakan kepadanya : "Apakah yang akan kita tulis? Beliau menjawab :"Tulislah!"
--------------------------
BismiLlahirRahmanirRahim!

Dari hamba ALlah yang pernah berdosa. Sufyan bin Sa'id bin Mundzir As Thauri, kepada hamba ALLah yang tertipu dengan angan-angan, Harun ar Rasyid yang telah mencabut kemanisan Iman.

Kemudian daripada itu, maka sesungguhnya aku telah menulis surat kali ini kepadamu untuk memberitahukan kepadamu, bahawa aku telah memutuskan tali hubungan dengan engkau, aku telah memotong tali cinta engkau dan aku murka dengan tempat kedudukanmu (Khilafah). Kerana engkau telah menjadikan saya sebagai saksi atas pengakuan engkau sendiri atas dirimu seperti tersebut dalam suratmu di mana engkau telah menyerang Baitul Mal kaum Muslimin. Kemudian engkau berikan kepada orang yang bukan berhak menerimanya dan engkau perlakukan harta itu di luar hukum. Kemudian engkau merasa tidak begitu senang terhadap apa yang engkau lakukan. Tersebab engkau telah terjauh daripada aku sehingga engkau menulis surat kepadaku untuk menjadi saksi atas perbuatan diri engkau sendiri.

Adapun aku ini memang telah menjadi saksi atas perbuatan engkau, aku dan begitu juga teman-temanku, iaitu mereka yang telah menyaksikan pembacaan engkau, dan kami akan tampil menjadi saksi atas engkau kelak di hadapan ALlah (subhanahu wa Ta'ala)

Wahai Harun, engkau telah berani menyerang Baitul Mal kaum Muslimin tanpa beroleh kerelaan daripada mereka. Apakah kaum yang masih dibujuk hati mereka rela dengan perbuatanmu itu! Begitu pula para amil yang bekerja mengurus harta itu di bumi ALlah ini, orang yang berjihad Fi sabiliLLah, dan Ibnu Sabil? Apakah rela dengan perbuatanmu itu para pendukung (penghafaz) Al Quran, para sarjana ilmu pengetahuan, kaum janda dan anak yatim?

Apakah rela dengan perbuatanmu itu rakyatmu yang ramai? Maka dari itu pereratlah ikat pinggang engkau dan persiapkanlah jawapan dari pertanyaan dan persiapkan pula untuk penutup bala kelak yang akan menimpa engkau!

Ketahuilah! Bahawa nanti engkau akan berdiri di muka hakim yang Adil, maka sungguh engkau telah mencelakakan dirimu sendiri di kala engkau telah mencabut kemanisan ilmu, zuhud dan kelazatan al Quran serta bergaul dengan orang-orang baik, sebaliknya engkau menyukai dirimu menjadi orang zalim dan menjadi Imam -Pemimpin bagi orang-orang zalim itu.

Wahai Harun! Engkau duduk di atas takhta kerajaan dan engkau memakai sutera, engkau pakaikan tabir di hadapan pintu rumahmu dan engkau mahu menyerupakan diri dengan Tuhan pengatur alam semesta. Dan kemudian engkau dudukkan tentera-tenteramu yang zalim di muka pintu engkau dan pagar engkau. Mereka menganiaya orang ramai, tetapi mereka tidak mempunyai keinsafan. Mereka sendiri meminum-minuman keras (khamar), tetapi mereka memukul barangsiapa yang meminumnya. Mereka sendiri berzina, tetapi mereka menghukum bunuh orang-orang yang berzina. Mereka sendiri mencuri (korupsi), tetapi mereka sendiri memotong tangan pencuri.

Apakah hukum-hukum ini tidak dijalankan dulu pada dirimu dan tentera-tenteramu itu sebelum hukum itu dijalankan kepada orang ramai? Berapakah kelak nasibmu wahai Harun, apabila pemanggil telah berseru kerana perintah ALLah :

"Kumpulkan olehmu orang-orang zalim itu dan para pembelanya? Maka engkau pun tampillah ke hadapan ALlah (Subhanahu wa Ta'ala).. sedangkan kedua-dua tangan engkau terbelenggu ke kudukmu yang tidak ada orang boleh melepaskannya kecuali keadilan engkau dan keinsafan engkau sendiri sejak di dunia ini; dan orang-orang zalim itu berdiri di sekeliling engkau dan engkau mendahului dan menjadi Imam mereka untuk pergi ke neraka.

Seolah-olah aku dengan engkau wahai Harun, engkau telah mencekik leher dan mendatangkan aib. Engkau akan melihat kebaikan-kebajikan engkau dalam neraca timbangan orang lain dan kejahatan-kejatahan orang lain dalam neraca engkau, suatu bencana di atas bencana dan kegelapan di atas kegelapan!

Oleh sebab itu peliharalah wasiatku ini baik-baik dan ambillah pengajaran dengan pengajaran yang telah aku berikan kepadamu ini. Ketahuilah bahawa aku telah memberi nasihat kepada engkau dan tidak satu pun yang ketinggalan dalam nasihat itu untuk mencapai sasarannya.

Dari itu, takutlah kepada ALLah, wahai Harun dalam mengatur rakyatmu! dan peliharalah Nabi Muhammad (SallaLLahu 'alaihi wa sallam) dalam memimpin umatnya dan berbuat kebajikanlah dalam memanfaatkan jawatan khilafahmu untuk kepentingan mereka!.

Ketahuilah olehmu bahawa urusan ini jika tetap ia berada di tangan orang lain nescaya ia tidak akan sampai kepada engkau dan ia akan sentiasa berada di tangan orang lain itu. Begitulah dunia, penduduknya berpindah satu demi satu (ke alam baqa' pen). Maka sebahagian mereka ada yang membawa bekal yang berguna baginya, dan yang lain orang yang merugi dunia dan akhirat.

Oleh sebab itu, jauhkanlah dirimu, sekali lagi jauhkan untuk berkirim surat kepadaku lagi, kerana aku sekali-kali tidak akan membalasnya!.

Wassalam
-------------------------------
Setelah Ubbad sampai kembali di Baghdad ia pun menyampaikan surat balasan tanpa sampul itu kepada Khalifah Harun al Rasyid yang sedang menanti-nantikan balasan sahabatnya, Sufyan At Thauri.

Harun al Rasyid menghadapi surat itu dan membacanya sedemikian rupa sehingga air matanya mengalir dari kedua-dua matanya sambil menarik nafas panjang.

Orang-orang yang di sekitarnya tidak sampai hati melihat khalifah menangis demikian halnya. Sehingga salah seorang di antara mereka berkata dan menyarankan kepada khalifah : "Ya Amirul Mukminin! Sungguh berani benar Sufyan bicara terhadap engkau, kalau sekiranya diizinkan aku berbuat kepadanya. Aku akan pukul dia dengan besi dan aku masukkan ke dalam jel penjara yang sempit agar menjadi iktibar-pengajaran bagi yang lainnya."

Tetapi Harun Al Rasyid menjawab usul orang itu dengan kata-kata:

"Tinggalkanlah kami, wahai hamba dunia yang telah tertipu kerana banyaknya orang yang telah kamu tipu, dan celaka kerana banyaknya orang yang telah kamu celakakan. Sesungguhnya Sufyan adalah satu-satunya, maka biarkanlah Sufyan dalam keadaan yang demikian!".

Begitulah Khalifah Harun al Rasyid memperlakukan surat Sufyan itu, dan surat itu sentiasa diletakkannya di sampingnya yang dibacanya selalu setiap kali mahu mengerjakan sembahyang. Begitulah ia berbuat sampai kepada akhir hayatnya.


Sumber : Detik-detik Terakhir Kehidupan RasuluLLah Dilengkapi dengan Daftar Susunan Seratus Tokoh Yang Berpengaruh Dalam Sejarah Dunia, Karangan K.H Firdaus A.N, Pustaka Ilmu, 1997


Tiada ulasan:

Catat Ulasan