Isnin, 9 Julai 2012

Aku kasi dua ringgit kalau ada pemimpin Umno seperti Tuan Guru Nik Aziz


KUALA LUMPUR: “Soalnya, adakah pemimpin lain yang bersifat seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dari kalangan Umno BN?” tanya Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) Riduan Mohd Nor (gambar).


Sehubungan itu, ujarnya DPPM menyelar kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menganggap rakyat Kelantan taksub kepada kepimpinan Tuan Guru sebagai Menteri Besar Kelantan sehingga menjangkakan BN sukar memerintah Kelantan selagi ada insan bernama Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“DPPM menganggap kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad seakan menghina rakyat Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, rakyat Kelantan dianggap tidak rasional sehingga sanggup taksub tidak tentu pasal terhadap kepemimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga menerima bulat-bulat apa sahaja ucapan daripada beliau.


Hakikatnya, kata Riduan rakyat Kelantan tidak seperti yang ditanggapi oleh Tun Dr Mahathir, kerana rakyat Kelantan lebih matang berpolitik dan tahu perkembangan politik tanah air.

Beliau berkata Mahathir tidak faham istilah taksub dengan kasih.

Jelasnya lagi, rakyat Kelantan sebenarnya amat kasih dan sayang kepada kepemimpinan Tuan Guru yang zuhud, sederhana, amanah, lemah lembut dan warak itu.

Katanya, Tuan Guru adalah ulama yang dalam masa yang sama menjadi pemimpin umat.

“Watak dan keperibadian beliau yang tinggi bukan dibuat-buat, sebaliknya ia adalah watak beliau secara tersendiri yang bertitik tolak dari ilmu dan sifat ketaqwaan beliau.

“Tidak terdengar kisah penyalahgunaan kuasa semasa pemerintahan beliau, mementingkan kroni, mengkayakan beliau dan keluarganya, jauh sekali dari mengambil rasuah,” katanya lagi.

Menurut Riduan, rumah yang diduduki Tuan Guru adalah sama sebelum menjadi Menteri Besar sehingga kini, tiada pengawal keselamatan yang menjaga setiap saat rumah beliau itu.

Malah, ujarnya Tuan Guru juga tidak kekok makan minum dan bermesra dengan rakyat di mana sahaja, makan nasi bungkus di gerai atau di kedai biasa, berjalan tanpa pengawal pengiring, dan tidur di mana sahaja beliau ditempatkan.

Kata Riduan lagi, MB Kelantan juga sanggup menginfakkan sebahagian dari pendapatan beliau kepada rakyat dan kerajaan Kelantan.

“Beliau juga tidak menetap di kediaman rasminya dengan memilih kediaman sendirinya. Lebih dari itu, setiap pagi Jumaat beliau memimpin kuliah Ilmu di Kota Bharu sehingga menjadi ikutan ribuan pendengar untuk hadir,” katanya.

Dengan kehidupan sedemikian, kata Riduan itulah rakyat menyayangi beliau.

“DPPM meyakini, jika watak Tuan Guru sama seperti pemimpin Umno BN yang lainnya, beliau bukan setakat dicemuh, malah ditolak oleh rakyat Kelantan.

“Andai kata beliau lebih mengutamakan keluarga, sanak saudara, kehidupan beliau yang mewah serta bersifat angkuh terhadap rakyat, sudah lama Kelantan akan bertukar ganti dengan pemimpin lainnya dan PAS pula akan ditolak jauh ke tepi,” ujarnya lagi.

Sebaliknya pula, kata beliau jika ada pemimpin Umno yang bersifat sama seperti Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sudah pasti rakyat akan mengasihi pemimpin tersebut dan akan dijamin untuk terus kekal memerintah negeri atau negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan