Jumaat, 21 Mac 2014

Lindungilah aku dari spesis ulamak ini...


Tahukah kita siapakah yang dinamakan ulamak suk (jahat)? Kadang-kadang kita tertipu dengan hujah yang disertakan dalil Al-Quran dan hadis bagi membolehkan sesuatu tindakan yang dilakukan oleh mereka. Ulamak suk ialah orang yang mempunyai ilmu dan hanya mementingkan keuntungan dunia semata-mata. Ia juga tidak gamak mencegah segala kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah atau orang kenamaan demi menjaga periuk nasinya. Inilah peluang keemasan yang ada untuk mengaut segala keuntungan dan kemewahan dunia dengan mengadaikan prinsip agamanya. Segala ilmu yang dimiliki olehnya digunakan untuk dijadikan hujah atau dalil bagi menghalalkan segala perbuatan yang jelas bercanggah dengan syarak.

Berkata Saidina Umar Al-Khattab bahawa perkara yang aku amat takut dan khuatir adalah orang munafik yang pandai berbicara. Rumusan yang dapat diambil ialah ulamak suk sangat bijak bermain kata-kata dengan dimuatkan dalil Al-Quran dan Hadis sehingga dapat mengelirukan orang ramai. Mereka ini juga dikategorikan sebagai orang yang lebih jahat jika dibandingkan dengan dajjal. Kebanyakkan orang tertipu dengan pakaian, penampilan dan percakapan mereka yang dihiasi dengan perumpamaan serta logik. Sangat sedap dan lunak ayat Al-Quran dan Hadis yang dibacakan oleh mereka. Tetapi semua ini bukan untuk mencari kebenaran tetapi adalah untuk menutupi segala kejahatan dan kesalahan yang telah dibuat oleh mereka.

Demi kepentingan dunia, mereka berdiam dan tidak berani menegur kesalahan yang dilakukan oleh pemerintah atau orang yang berkuasa. Segala kezaliman dan penyelewengan dilihat begitu sahaja tanpa ada sedikit pun perkataan membantah. Sangat taat kepada pemimpin yang zalim, munafik dan fasik seperti seekor Kaldai yang mentaati segala perintah tuannya. Hujah yang berani mereka berikan ialah yang tidak menganggu kepentingan diri. Setelah diasak dengan teruk, mereka hanya menyalahkan orang lain dengan mengatakan “Islam melarang kita mengambil tahu hal peribadi orang lain”.

Apabila sesuatu perkara yang diperintahkan Allah ingin ditegakkan oleh orang yang memperjuangkan Islam. Lantas akan dihalang oleh mereka dengan memberikan pelbagai alasan yang tidak munasabah seperti masanya belum tiba, negara ini mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama. Tidak sesuai dilaksanakan perintah tersebut pada zaman sekarang kerana ia sudah tidak reliven. Ada sahaja penentangan demi penentangan dari mereka yang cintakan dunia dan takutkan mati.

Matlamat utama bagi ulamak suk ini adalah kekayaan dunia semata-mata seperti memiliki harta yang banyak, rumah besar, duit yang banyak dan jawatan yang tinggi. Jika mereka menentang habislah semua ini, mereka tidak boleh bermewah dan berbangga dengan kekayaan dunia. “Siapa yang hendak memberi mereka makan dan siapa yang hendak memberikan mereka rezeki” soal hati mereka. Sebenarnya mereka lupa rezeki bukan datang dari manusia, tetapi ia datang daripada Allah, jika Allah tarik semua kemewahan itu sudah pasti hidup mereka akan lebih melarat dari orang-orang faqir yang miskin dunia tetapi kaya akhirat. Sabda Rasulullah SAW :

“Siapa yang mempelajari ilmu selain mencari redha Allah, dan mempelajarinya bertujuan untuk habuan dan ganjaran dunia maka tidaklah dia dapat (diharamkan) mencium bau syurga di hari akhirat.” (Riwayat Abu Daud)

Begitu hebat keburukan atau malapetaka yang akan timbul apabila orang yang berilmu menyembunyikan kebenaran. Masyarakat ketika itu tidak ada tali untuk bertaut dan segala maklumat tentang Islam tidak disampaikan secara jelas dan menyeluruh sehingga menyebabkan mereka tidak tahu mana yang benar dan mana yang dusta. Dari kesan ini, perbuatan maksiat, kezaliman, penindasan dan kesesatan bermaharajalela. Mereka juga sentiasa berada di dalam kekufuran dan dosa. Hal ini berlaku kerana ulamak yang ada tidak bertanggungjawab dan tidak menjalankan amanah yang Allah berikan kepada mereka. Dijelaskan oleh Imam Al-Ghazali :

Rosaknya rakyat berpunca daripada rosaknya pemerintah dan rosaknya pemerintah berpunca daripada ulama suk yang ada kepentingan.”

Perlukah kita cintakan ulamak seperti ini yang jelas sekali akan merosakkan kita? Jawapannya tidak sama sekali. Mari kita bersatu di bawah payung Islam untuk menolak dan menentang segala keburukkan yang telah mereka lakukan. Disamping itu juga kita berdoa supaya Allah membukakan pintu hati mereka agar diberikan hidayah serta menyesali segala perbuatan jahat yang telah mereka lakukan. Kembalikanlah mereka ke jalan yang diredhoi agar segala ilmu yang dimiliki oleh mereka dapat digunakan ke arah yang betul.

Bagi mengelakkan diri kita tersalah mencintai ulamak suk, maka kita harus berhati-hati sebelum mengiktiraf mereka sebagai ulamak. Lihat dahulu seluruh kehidupan mereka. Adakah mereka mempunyai peribadi yang baik seperti yang ditunjukkan Rasulullah SAW. Di sini juga dapat digariskan satu panduan untuk kita menilai seseorang ulamak seperti apa yang dikatakan oleh Imam An-Nawawi, kriteria ulama pewaris nabi ialah seorang hamba Allah yang beriman, menguasai ilmu syariah secara mendalam dan mempunyai pengabdian diri yang sangat tinggi terhadap Allah. segala ilmu yang ada, mereka curahkan kepada masyarakat tanpa ada sedikit pun ilmu yang disembunyikan oleh mereka.

http://www.ustaznoramin.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan