(Mustafa penuh keyakinan dalam sidang medianya hari ini)
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, hanya negeri Melaka, Pahang dan Johor sahaja masih lagi bersama BN sedangkan semua negeri lain boleh dikira sudah jatuh ke tangan Pakatan.
"Semalam saya umumkan kita dapat 117 kerusi Parlimen dari 222 yang ada. Petang nanti saya akan dapat angka baru yang boleh jadi meningkat lagi kerana trendnya Pakatan sedang meningkat," kata Mustafa dalam sidang medianya hari ini.
Dengan kenyataan Mustafa ini bermakna, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan, Terengganu dan Perlis sudah jatuh kepada Pakatan di Semenanjung ini.
Yang menjadi isu sekarang adalah setakat mana kekuatan PAS dalam Parlimen nanti bagi memastikan suara Islam dan Melayu menguasainya. Ekoran itu, ramai bersetuju agar semua pengundi Melayu memberikan undi kepada PAS kali ini, bukan Umno, bagi memastikan perkara itu.
Ini kerana, hampir 90 peratus pengundi Cina sudah membuat keputusan untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dalam piilihan raya ini. Dengan angka itulah, keyakinan sangat tinggi di kalangan pemimpin Pakatan mereka akan menang kali ini.
Di Terengganu, dalam tinjauan Harakahdaily malam tadi mendapati sambutan kepada PAS sangat memberangsangkan.
Kenderaan penuh sesak dari Kuantan ke Kuala Terengganu di kedua-dua laluan iaitu jalan pantai atau jalan Jabor - Jerangau. Mereka semua berebut-rebut untuk balik mengundi mulai malam tadi.
Di sepanjang jalan ada sahaja 'flashmob' yang dibuat dari penyokong PAS bagi mengalu-alukan kepulangan mereka.
"Orang atas pagar sejak hari penamaan calon lagi sudah yakin BN akan jatuh di Terengganu kali ini ekoran ramainya calon bebas yang merupakan ahli Umno yang bertanding," kata seorang guru kanan di sini.
Menurut beliau, pendapat begini dikongsi di kalangan kakitangan kerajaan walaupun PAS sendiri tidak mempunyai keyakinan yang setinggi itu.
Turut tidak mendapat tempat di Terengganu kali ini adalah ketiga-tiga sayap Umno.
Tidak ada calon Pemuda, Wanita dan Puteri Umno di Terengganu dalam pilihan raya kali ini.
Ketua Pemuda Umno Terengganu, Saiful Baharudin sepatutnya akan bertanding di DUN Alor Limbat, Marang tetapi di saat akhir nama beliau tertinggal.
Ekoran itu ada calon bebas bertanding di DUN Alor Limbat yang dikaitkan dengan beliau.
Dalam pilihan raya kali ini tidak ada seorang pun calon wanita bertanding di Terengganu yang membayangkan pengundi wanita tidak penting bagi Umno dalam pilihan raya ini.
"Mereka sesuai jadi tukang kempen je," kata seorang pemerhati politik.
Sumber: Harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan