MELAKA: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Melaka akan meneruskan Le Tour De Scorpene peringkat negeri Melaka malam ini walaupun tanpa kebenaran polis.
Zuraidi Abdullah, penyelaras SAMM Melaka berkata, pihaknya telah bertemu dengan pihak polis Melaka Tengah semalam bagi membincangkan program ini.
"Malam ini, SAMM Melaka menjemput kehadiran semua golongan masyarakat ke program SAMM RAPAT RAKYAT ABU : Jelajah Bongkar Skandal Scorpene bertempat di Peringgit Jaya (berhampiran Petronas dan AEON Jusco), Melaka bermula sekitar jam 9.00 malam," kata Zuraidi dalam kenyataannya hari ini.
Dalam pertemuan dengan polis yang diketuai ACP Muhammad semalam, SAMM telah memaklumkan kepada polis tentang proram ini.
Polis bertegas tidak membenarkan program ini dan tidak memberikan jaminan keselamatan terhadapnya.
Berikut adalah antara soal-jawab yang menjadi pokok perbincangan di antara Penyelaras SAMM Melaka dan juga pihak polis yang diwakili oleh ACP Muhammad:
1. Pihak polis telah menolak dan menghalang program tersebut dari diteruskan dengan alasan soal keselamatan dan kononnya bercanggah dengan akta baru. Turut dipersoal oleh pihak polis ialah permit tidak dimohon oleh penganjur.
SAMM Melaka menyatakan dengan baik, akan meneruskan ceramah tersebut dan lokasi ceramah tidak memerlukan permohonan permit kerana Rapat Rakyat ABU: Jelajah Scorpene diadakan di tanah persendirian dan juga berpagar.
2. Polis berdolak-dalik untuk memastikan keselamatan di tapak program dengan mengatakan pihak polis kekurangan kakitangan di musim perayaan.
Bagi SAMM Melaka, sekiranya tugasan pihak polis bertepatan dengan kerjaya contohnya SB dan mata-mata dimansuh, pasti jumlah anggota polis mencukupi walaupun di musim perayaan.
3. Polis kemudian memberi jaminan untuk meluluskan permohonan ceramah sekiranya SAMM Melaka menukar tarikh program selepas 10 hari dari tarikh semalam.
Menunda program ke satu tarikh lain sehari sebelum program berlangsung adalah tidak efisyen. Kehadiran SAMM Melaka ke IPD bukan untuk meminta izin, tetapi memaklumkan program berlangsung supaya pihak polis boleh bertugas menjaga keselamatan. SAMM Melaka tetap dengan pendirian untuk menjalankan program pada tarikh yang dijanjikan - 13 November.
4. Polis akhirnya memberi kata dua dan jika program ini diteruskan " TIADA JAMINAN KESELAMATAN DARI PIHAK POLIS".
Bagi SAMM Melaka, mana-mana pihak polis yang tidak mampu memberi jaminan keselamatan harus meletakkan jawatan serta merta.
5. Pihak polis menyatakan sekiranya berlaku sebarang provokasi dan kejadian, SAMM Melaka harus bertanggungjawab dan Penyelaras SAMM Melaka menjadi individu pertama yang akan ditangkap.
"SAMM Melaka ingin menegaskan betapa pihak polis harus menangkap provokator, bukan penganjur," kata Zuraidi dalam kenyataannya.
Sehubungan itu, beliau mengajak semua pihak bersama SAMM pertahankan saki-baki ruang demokrasi yang ada hari ini.
SUMBER: Harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan