Ahad, 28 Oktober 2012

Bertindak segera, Islam Rohingya di ambang maut

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa kerajaan Malaysia segera bertindak melakukan sesuatu, jika etnik Islam Rohingya di Myanmar sekarang mahu diselamatkan.

“Mapim sedang mengikuti perkembangan keganasan terbaru di Myanmar dengan dekat melalui Union of World Rohingya Organization yang menjadi rakan jaringan kami agar maklumat yang sah dan terkini dapat diperolehi,” ujar Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, perkembangan terkini sangat meruncing di beberapa bandar di Arakan dan ada tanda ketegangan akan merebak ke seluruh Myanmar.

“Kami sangat kecewa keganasan yang tercetus terkini yang lebih meruncing dan sangat mengkhuatirkan tidak mendapat perhatian segera untuk menyelamatkan komuniti Muslim Rohingya yang menjadi mangsa serangan oleh etnik Buddha Rakhine.

“Apakah Malaysia sebagai anggota OIC dan Asean hanya mahu menjadi pemerhati kepada keganasan penghapusan etnik yang sangat kejam sedangkan tragedi itu sedang berlaku dirantau ini?” katanya

Kini, jelasnya keadaan sangat meruncing kerana serangan kali ini nampaknya nekad untuk menghabiskan semua penduduk etnik Rohingya dan Kaman Muslim di seluruh Myanmar.

Menurutnya, angka kematian sebenarnya sudah mencecah hampir seribu orang , sedangkan bilangan rumah dan perkampungan orang Rohingya yang dibakar jauh lebih besar jumlahnya.

Sebenarnya, kata beliau dunia sedang menyaksikan pengulangan peristiwa pembunuhan massa kaum Serbia ke atas kaum Bosnia pada 1995.

Katanya lagi, hanya setelah ratusan ribu kaum Muslim Bosnia terbunuh barulah Nato bertindak ke atas Serbia.

“Kami menegaskan bahawa saat ini bukan lagi masanya untuk mengeluarkan kenyataan tetapi hendaklah melakukan tindakan konkrit untuk melindungi mangsa Rohingya Muslim yang menjadi sasaran serangan kaum Rakhine yang dibantu oleh tentera dan polis Myanmar,” ujarnya.

Justeru, katanya Mapim mendesak kerajaan Malaysia menghantar delegasi khas dengan segera untuk menyampaikan mesej tegas bahawa tindakan kerajaan Myanmar tidak boleh diterima sama sekali.

Katanya, pihak kedutaan Myanmar di Malaysia hendaklah dipanggil segera untuk menyampaikan pendirian negara terhadap kekejaman yang sedang berterusan sekarang.


Harakahdaily.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan